Tuesday, June 2, 2009

PAS DAN UMNO TAK SAMA DENGAN DAP! SELAMAT BERMUKTAMAR...

Parti PAS sekali lagi akan bermukim untuk mengadakan muktamarnya pada tahun ini di Shah Alam. Shah Alam ialah ibu negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor membenarkan Stadium Melawati dijadikan venue utama muktamar PAS, kerana kerajaan negeri hari ini telah diterajui oleh gagasan Pakatan Rakyat yang berkongsi kuasa di antara PKR, DAP dan juga Parti Islam (PAS).

PAS yang berpaksikan kepada perjuangan Islam, tentunya tidak tergamak bersekongkol dengan golongan yang terang-terang menolak Islam. DAP yang sebumbung dengan mereka hari ini telah menunjukkan belang dengan tidak menghormati prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini.

Pemimpin DAP walaupun telah menolak hukum hudud, tetapi PAS lebih menyenangi berkawan dengan mereka ini daripada bersekongkol dengan pemimpin Melayu di dalam UMNO. PAS menolak bekerjasama dengan UMNO bukan kerana UMNO tidak Islam, tetapi mereka lebih mempercayai golongan yang anti Islam yang boleh diperalatkan untuk menghancurkan kekuatan UMNO.

PAS lebih merelakan UMNO hancur dan berkubur, tetapi mereka lebih sayangkan hubungan intim bersama Karpal Singh, Lim Kit Siang, Guang Eng - kerana mereka ini juga tidak mahu melihat bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini terus bersatu padu.

DAP tentunya berdukacita jika mendengar khabar berita wujudnya kelompok di dalam PAS yang telah merintis jalan untuk bersatu dengan UMNO. Mereka sedar jika PAS dan UMNO bersatu, bangsa Melayu akan menjadi lebih kuat, dan amat sukar pula bagi mereka untuk melemahkannya semula.

Hairan bin ajaib, kenapa tok-tok guru di dalam PAS yang berbuih-buih bercakap mengenai persaudaraan Islam, tetapi mereka tuli untuk membezakan di antara matlamat perjuangan DAP dan juga matlamat perjuangan saudara seIslam mereka di dalam UMNO?

PAS lebih rela bermusuh dengan saudara seagamanya di dalam UMNO kerana mereka lebih mempercayai DAP daripada UMNO. Jika dahulu Hadi Awang pernah berfatwa kononnya UMNO yang bersekutu dengan MCA, MIC dan lain-lain parti yang bukan Islam sebagai kafir, tetapi hari ini mereka sendiri sanggup meletakkan diri mereka seganding dengan UMNO yang dianggapnya sebagai tidak Islamik.

UMNO bukanlah sebuah parti yang maksum, namun begitu PAS juga bukanlah lebih maksum daripada UMNO. UMNO dan PAS hanya sebuah parti yang menjadi wadah perjuangan untuk membangunkan syaksiah umat. Pemimpin UMNO dan pemimpin PAS, ahli UMNO dan ahli PAS sebenarnya mereka semua adalah manusia dan makhluk yang tidak akan terlepas daripada dosa dan pahala.

Orang PAS yang bertakwa, juga ada di dalam UMNO. Orang UMNO yang melakukan amar makruf juga ada di dalam PAS. Orang PAS bersolat, orang UMNO juga bersolat. Memang benar orang DAP yang tidak beragama Islam tidak pandai mengucap dua kalimah syahadah, tetapi bukanlah bijaksana jika PAS bermusuh dengan UMNO.

Bukankah lebih afdal jika kita mencari jalan untuk mengembangkan syiar persaudaraan sesama Islam? Tanpa kita menafikan perlunya kita berdakwah kepada yang bukan Islam, tetapi bermusuh sesama Islam menjadikan kita lebih hina di sisi Allah. Tok guru mungkin lebih mafhum maksud sebenar ungkapan ini!

Diharap dan didoakan semoga perjalanan muktamar PAS tidak mendorong kepada kesesatan sehingga sukar untuk membezakan di antara yang hak dan yang batil. Yang hak ialah Islam, tetapi yang batil ialah kebencian sesama muslim.

Marilah kita memohon keampunan semoga Allah melorongkan hati kita untuk bertaut demi kesucian Islam yang syumul. Amin...!

No comments:

Post a Comment