Thursday, June 4, 2009

DI ANTARA NASHARUDIN, HUSAM DAN MAT SABU SIAPA LEBIH BERTAQWA DAN BERIMAN?


"Pilihlah Pemimpin Beriman dan Bertaqwa" - Demikian seruan PAS kepada perwakilannya sebagaimana yang terdapat di dalam sepanduk yang terbentang di beberapa venue muktamar PAS di Shah Alam.

Apakah di kalangan pemimpinnya yang bertanding itu masih ada yang kurang imannya dan dicurigai ketaqwaannya? Jika itu yang diingatkan, siapakah yang lebih taqwanya dan siapa pula yang lebih beriman di antara NASHARUDIN, HUSAM DAN MAT SABU yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden PAS?

Namun agak malang nasib pemimpin UMNO kerana mereka masih menganggap pemimpin UMNO tidak layak disokong kerana PAS lebih meyakini keimanan dan ketaqwaan pemimpin DAP yang menjadi rakan karibnya sekarang.




Wednesday, June 3, 2009

AL-QURAN DAN AS-SUNNAH DIJADIKAN DALIL PAS UNTUK BERMUSUH DENGAN UMNO?


muktamar 55 youth dpp 030609 stagePAS terus mendakwa partinya berjuang berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai menghalalkan cara untuk bermusuh dengan UMNO dan BN. Na'uzubillah....

Demikian ketegasan yang diungkapkan oleh Timbalan Presidennya, Ustadz Nasharuddin Mat Isa yang memperjelaskan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah mempunyai sebarang niat atau perancangan untuk bersama dengan Umno atau BN.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah spekulasi semata-mata.

"Saya percaya adik-adik saya dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di markas PAS di Taman Melewar Gombak malam kelmarin.

"Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jemaah kita," katanya.

"Al-Quran dan al-Sunnah yang megajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula hendak berdamai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, prinsip dan dasar Islam yang perjuangkan oleh PAS tidak sesekali akan berganjak.

Bersandarkan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin nombor dua Parti Islam SeMalaysia (PAS) ini, jelas memperlihatkan betapa dangkalnya pentafsiran mereka sehingga kabur untuk membezakan di antara musuh sebenar yang perlu diperangi dan golongan mana yang perlu diukhwahkan silaturrahimnya.

PAS melihat partinya lebih mulia daripada golongan Islam lain yang tidak turut serta di dalam jemaah mereka sehingga tergamak menjadikan UMNO sebagai musuhnya, manakala pengikut DAP yang secara nyata menolak negara Islam telah dijadikan sebagai rakan karibnya.

Pengikut UMNO yang beragama Islam semakin dipandang hina kerana mereka beranggapan bahawa UMNO perlu ditentang dan diperangi habis-habisan. Mereka rasa tidak bersalah di sisi Allah untuk bermusuh sesama Islam semata-mata berlainan fahaman parti.

Pengikut DAP agak terselamat daripada mendapat penghinaan oleh ulamak PAS, kerana mereka melihat DAP lebih Islamik daripada UMNO. Tentunya mereka memperolehi sumber dalil aqli dan juga dalil naqli yang mengharuskan PAS bermusuh dengan UMNO. Demi nak menjaga 'silaturrahim' dengan DAP mereka lebih selesa berkawan dengan puak parti itu, dan sanggup pula memutuskan silaturrahim bersama umat Islam yang menjadi pengikut UMNO.

Jika inilah tafsiran Islam yang dibawa oleh PAS, semakin bercelarulah umat Islam di negara ini. Sebenarnya PAS tidak memiliki 'authority' yang mutlak di sisi Islam untuk berkata DAP lebih wajar disepakati menjadi sekutunya untuk menikam umat Islam lain yang berada di dalam kabilah UMNO.

Adakah kaedah ini yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah? Jawapan kepada soalan ini ialah - hanya PAS yang berkata Al-Quran dan As-Sunah telah mengharuskan mereka memusuhi UMNO, sedangkan Islam adalah agama persaudaraan. Siapa yang mengengkari Al-Quran dan As-Sunnah? Tentunya PAS akan terus mendakwa bahawa UMNOlah yang patut dimusuhi, dan mereka konsisten sejak dulu lagi dengan berkata betapa UMNO bukanlah selayaknya di sisi Islam melainkan PAS?







Tuesday, June 2, 2009

PAS DAN UMNO TAK SAMA DENGAN DAP! SELAMAT BERMUKTAMAR...

Parti PAS sekali lagi akan bermukim untuk mengadakan muktamarnya pada tahun ini di Shah Alam. Shah Alam ialah ibu negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor membenarkan Stadium Melawati dijadikan venue utama muktamar PAS, kerana kerajaan negeri hari ini telah diterajui oleh gagasan Pakatan Rakyat yang berkongsi kuasa di antara PKR, DAP dan juga Parti Islam (PAS).

PAS yang berpaksikan kepada perjuangan Islam, tentunya tidak tergamak bersekongkol dengan golongan yang terang-terang menolak Islam. DAP yang sebumbung dengan mereka hari ini telah menunjukkan belang dengan tidak menghormati prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini.

Pemimpin DAP walaupun telah menolak hukum hudud, tetapi PAS lebih menyenangi berkawan dengan mereka ini daripada bersekongkol dengan pemimpin Melayu di dalam UMNO. PAS menolak bekerjasama dengan UMNO bukan kerana UMNO tidak Islam, tetapi mereka lebih mempercayai golongan yang anti Islam yang boleh diperalatkan untuk menghancurkan kekuatan UMNO.

PAS lebih merelakan UMNO hancur dan berkubur, tetapi mereka lebih sayangkan hubungan intim bersama Karpal Singh, Lim Kit Siang, Guang Eng - kerana mereka ini juga tidak mahu melihat bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini terus bersatu padu.

DAP tentunya berdukacita jika mendengar khabar berita wujudnya kelompok di dalam PAS yang telah merintis jalan untuk bersatu dengan UMNO. Mereka sedar jika PAS dan UMNO bersatu, bangsa Melayu akan menjadi lebih kuat, dan amat sukar pula bagi mereka untuk melemahkannya semula.

Hairan bin ajaib, kenapa tok-tok guru di dalam PAS yang berbuih-buih bercakap mengenai persaudaraan Islam, tetapi mereka tuli untuk membezakan di antara matlamat perjuangan DAP dan juga matlamat perjuangan saudara seIslam mereka di dalam UMNO?

PAS lebih rela bermusuh dengan saudara seagamanya di dalam UMNO kerana mereka lebih mempercayai DAP daripada UMNO. Jika dahulu Hadi Awang pernah berfatwa kononnya UMNO yang bersekutu dengan MCA, MIC dan lain-lain parti yang bukan Islam sebagai kafir, tetapi hari ini mereka sendiri sanggup meletakkan diri mereka seganding dengan UMNO yang dianggapnya sebagai tidak Islamik.

UMNO bukanlah sebuah parti yang maksum, namun begitu PAS juga bukanlah lebih maksum daripada UMNO. UMNO dan PAS hanya sebuah parti yang menjadi wadah perjuangan untuk membangunkan syaksiah umat. Pemimpin UMNO dan pemimpin PAS, ahli UMNO dan ahli PAS sebenarnya mereka semua adalah manusia dan makhluk yang tidak akan terlepas daripada dosa dan pahala.

Orang PAS yang bertakwa, juga ada di dalam UMNO. Orang UMNO yang melakukan amar makruf juga ada di dalam PAS. Orang PAS bersolat, orang UMNO juga bersolat. Memang benar orang DAP yang tidak beragama Islam tidak pandai mengucap dua kalimah syahadah, tetapi bukanlah bijaksana jika PAS bermusuh dengan UMNO.

Bukankah lebih afdal jika kita mencari jalan untuk mengembangkan syiar persaudaraan sesama Islam? Tanpa kita menafikan perlunya kita berdakwah kepada yang bukan Islam, tetapi bermusuh sesama Islam menjadikan kita lebih hina di sisi Allah. Tok guru mungkin lebih mafhum maksud sebenar ungkapan ini!

Diharap dan didoakan semoga perjalanan muktamar PAS tidak mendorong kepada kesesatan sehingga sukar untuk membezakan di antara yang hak dan yang batil. Yang hak ialah Islam, tetapi yang batil ialah kebencian sesama muslim.

Marilah kita memohon keampunan semoga Allah melorongkan hati kita untuk bertaut demi kesucian Islam yang syumul. Amin...!

ADAT BERTANDANG BERWAJAH SERI

Sidang panitia TANDANGSERI mengucapkan selamat bertandang ke laman maya kami. Kami muncul di layar maya ini sebagai bertandang minda untuk mencari hakikat kebenaran agar dapat menyerikan citra wawasan pemimpin negara yang bertunjangkan citarasa rakyat untuk menggapai mercu kejayaan '1Malaysia'.

Kami menghargai apa jua pandangan dan citarasa yang dinukilkan untuk dijadikan bahan rujukan ke arah memantapkan persada perjuangan yang merakyat untuk sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi bermaruah.

Hendaknya janganlah wujud prasangka yang terlalu prejudis sehingga melupakan adab untuk bertandang ke dangau maya kami. Hargailah nilai ketelusan, lonjakkan suatu paradigma yang membina dan membangun fikrah sejagat.

Terima kasih - Wassalam.


Tandangseri.
2 Jun 2009.